Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...



Followers

Sunday 22 April 2012

hukum penggunaan minyak wangi beralkohol dalam solat



Soalan:
Mohon penjelasan hukum penggunaan minyak wangi beralkohol dalam solat?

Jawapan:
Jawapan seperti berikut :-
1) Harus dan sah solat, walaupun menggunakan minyak wangi beralkohol. Ini kerana bukan semua alkohol adalah najis. Para Ulama menyebut alkohol najis berdasarkan hadith nabi yang memberi isyarat bahawa arak itu najis. Ia diambil dari ayat al-Quran yang menyebut :
“Arak, tenung dan tilik nasib, lemparan kayu nasib adalah kekotoran (‘rijs’) dari hasil kerja Syaitan ” (Al-Maidah; 90)
Dan dari hadith oleh Abu Tha`laba al-Khushani di dalam sohih al-Bukhari dan Muslim:
“Wahai Nabi Allah, kami tinggal di tanah Ahli Kitab, bolehkah kami makan & minum di dalam bekas mereka?” Nabi membalas : “Sekiranya kamu mendapati bekas selain bekasan mereka, maka jangan menggunakannya, sekiranya kamu gagal mendapatkan selainnya, maka hendaklah kamu basuh bekas itu dahulu dan kemudian makanlah menggunakannya “


Imam An-Nawawi (Syarah Sohih Muslim 13/14:86) dan Imam As-Shawkani ( Naylul Awtar, 1/71) menyebut “Maksud larangan makan menggunakan bekas-bekas mereka menunjukkan apa yang mereka masak dan minum menggunakan arak adalah kernana ia dihukum sebagai najis”


Hasilnya kesemua ulama empat mazhab sebelum itu pun telah menyebut bahawa arak adalah Najis.
Mazhab Hanafi, menurut kitab al-Fiqh al-Islami wa adillatuh (6/158) menyebut bahawa jika terdapat setitik arak sebesar syiling di baju seseorang, maka solatnya menjadi batal.


Mazhab Maliki, disebut oleh Ibn Rushd dalam Bidayat al-mujtahid (2/125); “Tiada satu jenis pun dari alkohol, bangkai dan najis boleh digunakan kecuali untuk tujuan perubatan”
Mazhab Shafi`i, arak disebut najis sebagaimana disebut oleh Imam An-nawawi di dalam al-Majmu` 2/569-570 (dipetik dari Imam al-Ghazali);


Demikian juga menurut mazhab Hanbali ( Ibn Quddama, al-Mughni, 9/152).
Benar 70 % atau lebih dalam arak adalah alkohol, tetapi ia jenis “Denatured alcohol” yang telah diproses untuk tujuan memberikan kemabukkan. Sila rujuk Denatured Alcohol . Adapun, alkohol yang ada di dalam minyak wangi adalah bukan jenis ethanol yang sama dengan apa yang ada di dalam arak, ia menggunakan ‘Absolute ethanol’ iaitu satu jenis alkohol dengan hanya sedikit air dan campuran lain (maka kesannya juga berbeza dari kesan arak, malah ia tidak lagi digelar arak, barangsiapa yang meminumnya pula, ia mungkin boleh membawa seseorang itu ke alam barzakh dengan segera ! dan bukannya mabuk.


Kesimpulannya, menggunakan minyak wangi beralkohol adalah dikira suci dan tidak menjejaskan solat seseorang. Itulah pendapat saya berdasarkan hujjah di atas dan demikian juga pandangan yang diberi oleh guru-guru saya seperti Prof. Dr Abd Fatah Idris melalui kitabnya dan Syeikh Prof Dr Fadhal Hassan Abbas melalui kuliahnya.


BAGAIMANAPUN, AKHIR-AKHIR INI SAYA MENDAPAT INFOMASI TIDAK RASMI 
BAHAWA TERDAPAT PERFUME DARI BARAT YANG JUGA MEMPUNYAI ELEEMN ‘LARD’ ATAU BABI DI DALAMNYA. JIKA BENAR, MAKA ia adalah diharamkan dan tidak sah di bawa di dalam solat.
Cuma sumber yang menyatakannya adalah masih tidak kukuh dan saya tidak menumpukan kajian terhadap hal babi dalam minyak wangi. Jawapan saya hanya menumpukan isu hukum alkohol.


Sumber: http://www.zaharuddin.net/




Saturday 21 April 2012

Dua Puluh Perkara Yang Boleh Membatalkan Syahadah Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Dua Puluh Perkara Yang Boleh Membatalkan Syahadah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,
Persoalan akidah adalah persoalan asas,... yang mana setiap Muslim mestilah memiliki akidah yang sahih, betul dan tidak ada cacat di dalam akidahnya. Jika akidah seseorang telah cacat atau rosak maka sebenarnya dia telah terkeluar daripada Islam. Untuk kembali balik kepada Islam perlulah bertaubat dan memperbarui semula dua kalimah syahadah iaitu :


“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya) melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Pesuruh Allah.”


Apabila akidah seseorang sudah sempurna barulah semua amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan yang dikerjakan akan bernilai di sisi Allah S.W.T. dengan diberi-Nya pahala. 


Di dalam buku bertajuk " Iman dan 20 perkara yang membatalkan syahadatain oleh As-Syahid Sayed Qutub, As-Syaikh Said Hawa dan Abu 'Ala Al-Maududi" telah dijelaskan bahawa terdapat 20 perkara yang boleh membatalkan syahadah seorang muslim. 


Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut : 


1. Tawakkkal atau bergantung harap kepada sesuatu selain daripada Allah.


2. Mengengkari nikmat Allah samada yang terang atau tersembunyi, sesuatu yang mudah difikir atau yang memerlukan kajian. Bukanlah menjadi bidang kuasa manusia dalam urusan memberi dan menahan rezeki seseorang tetapi ia merupakan hak Allah.


3. Beribadat khusus, berkerja atau berkhidmat dengan tujuan selain daripada Allah kerana segala yang kita lakukan mestilah selari dengan apa yang dikehendaki oleh Allah.


4. Menggubal undang-undang atau peraturan mengikut kemahuan manusia bukan mengikut ketentuan Allah sedangkan hanya Allah sahaja yang berhak menentukan peraturan manusia.


5. Menumpukan segala ketaatan kepada selain daripada Allah dengan cara yang tidak disukaiNya. 


6. Menjalankan hukuman yang lain daripada hukum Allah atau tidak merujukkan kepada hukum Allah dalam sesuatu perkara.


7. Membenci atau menentang sesuatu perkara yang berhubung dengan Islam atau pun membenci agama Islam secara keseluruhannya.


8. Mencintai kehidupan dunia mengatasi kecintaan kepada akhirat di mana dia menjadikan dunia ini sebagai matlamat utama yang unggul dalam kehidupannya.


9. Menghina sesuatu daripada al-Quran atau hadis atau pun kitab orang alim yang menegakkannya atau pun mempersendakan hukum daripada hukum Allah. 


10. Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharam apa yang dihalalkan oleh Allah. 


11. Tidak beriman kepada semua sumber hukum daripada al-Quran dan Hadis. 


12. Melantik orang kafir dan munafik menjadi pemimpin serta tidak mencintai orang yang berakidah Islam dan beriman.


13. Tidak beradab dalam pergaulan dengan Rasulullah S.A.W. di mana bagi mereka yang datang selepas kewafatannya mesti beradab dalam percakapan, penulisan dan syarahan.


14. Rasa takut dan gentar dalam menegakkan Islam dan rasa lapang, riang dalam menegakkan perkara syirik.


15. Menyatakan bahawa al-Quran terdapat pertentangan antara ayat yang zahir dan isi yang terkandung dalam ayat itu dan juga menyatakan bahawa isi yang terkandung dalam ayat al-Quran hanya boleh difahami oleh setengah orang melalui ilham. Begitu juga bagi mereka yang menuduh perkara demikian terhadap sunnah nabi.


16. Tidak mengetahui tentang makrifat Allah dengan pengenalan yang jelas serta mengengkari sifat ketuhananNya atau nama-nama Allah.


17. Tidak mengetahui atau mengenali Rasul dengan betul atau menafikan bahawa adanya sifat yang terpuji yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya atau menghina sifat kepujian atau tidak beriktikad bahawa baginda adalah sebagai contoh ikutan utama bagi umat manusia.


18. Mengkafirkan orang yang mengucap dua kalimah syahadah serta tidak mengkafirkan orang yang telah engkar syahadah dan tidak menghalalkan perang dengan mereka.


Suatu kaedah : "Sesiapa yang mengkafirkan orang mukmin maka ia menjadi kafir, sebaliknya sesiapa yang tidak mengkafirkan orang kafir maka dia menjadi kafir. Sesiapa yang syak tentang kekafiran orang kafir maka dia juga menjadi kafir."


19. Membuat sesuatu pekerjaan (ibadat) bukan kerana Allah seperti sembelih binatang bukan kerana Allah, sujud dan tawaf pada selain Baitullah dengan niat mendekati Allah.


20. Melakukan syirik khafi atau kecil di mana ia tidak membatalkan syahadah dan ia juga boleh boleh diubati dengan doa seperti solat kerana pujian manusia dan sebagainya. Syirik khafi boleh dihapuskan dengan beristighfar kepada Allah SWT.


Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita jaga akidah kita supaya tidak ada sedikit pun unsur-unsur yang boleh mencacatkannya, kerana Allah S.W.T tidak mengampunkan dosa syirik kepada-Nya dan akan mengampunkan dosa selain itu.


Syirik iaitu menyamakan selain Allah dengan Allah dalam Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Umumnya menyekutukan dalam Uluhiyyah Allah, iaitu hal-hal yang merupakan kekhususan bagi Allah, seperti berdoa kepada selain Allah disamping berdoa kepada Allah, atau memalingkan suatu bentuk ibadah seperti menyembelih (kurban), bernazar, berdoa dan 20 perkara yang dijelaskan di atas adalah perkara-perkara yang boleh menjadikan syirik kepada Allah S.W.T. 


Kerana itu, barangsiapa menyembah selain Allah bererti ia meletakkan ibadah tidak pada tempatnya dan memberikannya kepada yang tidak berhak, dan itu merupakan kezaliman yang paling besar.


Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman maksudnya : "Sesungguhnya menyekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar" (Surah Luqman ayat 13)


Allah tidak akan mengampuni orang yang berbuat syirik kepadaNya, jika ia meninggal dunia dalam kemusyrikannya. 


Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar".(Surah An-Nisaa' ayat 48)


Syurga pun diharamkan atas orang Musyrik. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman maksudnya : "Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan syurga kepadanya, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun". (Surah al-Maaidah ayat 72).


Syirik menghapuskan pahala segala amal kebaikan. Allah Azza wa Jalla berfirman maksudnya : "Seandainya mereka mempersekutukan Allah, niscaya lenyaplah dari mereka amalan yang telah mereka kerjakan". (Surah al-An'am ayat 88)


Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah sama-sama kita jaga akidah kita dan mereka yang dibawah tanggungan kita, jiran tetanga, saudara-mara dan sahabat- handai supaya akidah mereka tidak cacat dan rosak hingga menyebabkan segala amal-amal soleh di tolak oleh Allah S.W.T. Kepentingan akidah ini lebih penting daripada kita jaga makan-minum dan kesihatan fizikal kita kerana di sinilah akan menentukan kebahagiaan kita hidup di hari akhirat nanti.




Tuesday 17 April 2012

Seorang Muslim Akan Menutup Aib Saudaranya Yang Lain




Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang muslim yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya hendaklah sentiasa menjaga kehormatan dan aib saudaranya. Segala kekurangan yang ada hendaklah ditutup dan jangan di ceritakkan kepada orang lain. Allah SWT akan memberi ganjaran yang besar dan akan menutup aibnya dihari akhirat kepada mereka yang mengelakkan diri daripada mengumpat dan menceritakan keaiban saudaranya kepada orang lain semata-mata untuk menjaga maruah diri saudara seagama.


Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : "Tidaklah seorang hamba menutupi aurat  (aib ) orang lain di dunia kecuali Allah menutupi auratnya ( aibnya ) di akhirat "
(Hadis Riwayat Muslim)


Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang maksudnya  : "Muslim ( orang Islam ) adalah saudara bagi orang Islam lainnya, dia tidak menganiayanya dan tidak pula menyerahkannya kepada musuhnya ( tidak juga meninggalkannya tanpa pertolongan ), barangsiapa menolong saudaranya untuk memenuhi hajatnya, maka Allah bersamanya dalam memenuhi hajatnya, dan barangsiapa melapangkan suatu kesusahan dari seorang muslim, maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat, dan barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat.
(Hadis Riwayat Muslim).


Dari Ibnu Umar radhiyallahu 'anhu ia berkata : Rasulullah SAW naik ke atas mimbar, lalu memanggil dengan suara yang tinggi : "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum sampai ke hati mereka, janganlah menyakiti orang-orang yang beriman, janganlah mencela mereka, dan janganlah mencari-cari aurat ( aib ) mereka, kerana barangsiapa mencari-cari aib saudaranya yang muslim, maka Allah membuka aibnya dan memalukannya walaupun dia berada di dalam rumahnya.
(Hadis Riwayat Tirmidzi).


Sahabat yang dimuliakan,
Allah 'Azza wa Jalla cinta untuk menutupi aib makhluk-Nya, dan memerintahkannya (menutupi aib orang lain ), oleh kerana itu Allah mengharamkan tindakan mata-mata (mencari-cari) dan melarangnya, dan Rasulullah SAW telah memberitahukan bahawa siapa saja yang menutupi aib seseorang, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat, dan melarang mencari-cari aib kaum muslimin dan tindakan memata-matai (mencari-cari) mereka tentang pekerjaan yang mereka sembunyikan.


Sekarang ini sudah menjadi satu trend bahawa seorang begitu mudah untuk menabur fitnah dan mendedahkan aib seseorang yang menjadi musuhnya samaada artis sesama artis, ahli politik sesama ahli politik, usahawan sesama usahawan dan pemimpin pertubuhan sesama pemimpin pertubuhan yang lain. Hari-hari dada akhbar arus perdana mendedahkan pertelingkahan , perbalahan, tuduh menuduh di antara kumpulan-kumpulan tertentu yang bermusuhan saling mencari kelemahan dan kesalahan lalu mendedahkannya tanpa menyiasat sahih atau tidaknya suatu berita itu. Trend yang biasa dibuat adalah membuat lapuran polis, membayangkan seolah-olah apa yang mereka lakukan adalah mempunyai bukti dan kebenaran.


Hakikat sebenarnya perbuatan mereka adalah amat bertentangan dengan ciri-ciri akhlak Islam kerana banyak kes di dapati isu-isu yang dibawa hanyalah propaganda kosong yang hanya menambahkan kebencian, permusuhan dan perpecahan dikalangan umat Islam.


Di dalam Islam terdapat kaedah untuk menyelesaikan sesuatau perbezaan pendapat iaitu dengan berbincang dan bermuzakarah secara baik dan sopan mengikut lunas-lunas ajaran Islam.


Firman Allah SWT maksudnya : "Kemudian, jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya) , jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu, lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Surah an-Nisa' ayat 59).


Jika umat Islam tidak kira mereka daripada kumpulan mana , kembali kepada ajaran Islam sebenarnya dan menjadikan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai penduan dan ikutan maka umat Islam akan bersatu dan  ukhuwah Islamiah dapat dibina dan ikatan silaturahim dapat disambung semula.


Tidak ada untungnya seseorang mempertahankan pendapatnya yang mungkin betul atau salah, sedangkan melahirkan perpecahan, perbalahan dan memutuskan silaturahim adalah haram dan berdosa besar.


"Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : "Tidak akan masuk syurga bagi yang memutuskan silaturahim".
(Hadis Riwayat Muslim)


"Dari Abi Hurairah r.a dari Rasulullah SAW  bersabda seorang muslim adalah seorang yang apabila orang lain terselamat daripada lidahnya dan tangannya dan seorang mukmin adalah seorang yang apabila orang lain berasa aman daripadanya terhadap jiwa dan harta benda mereka".
(Hadis Riwayat Nasaie)


Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita buangkan sifat mazmumah yang bersarang di dalam hati kita iaitu sifat suka membuat fitnah, mengumpat, mendedahkan aib , menghina dan menjatuhkan maruah seseorang. Sayangkanlah segala amal ibadah, amal soleh dan amal kebaikan yang kita telah lakukan sejak akil baligh hingga sekarang supaya ianya tidak terhapus begitu saja  disebabkan kita melayan suasana masyarakat yang suka buat fitnah dan mendedahkan aib seseorang dan kita berada bersama-sama kumpulan tersebut.


Ingatlah ketika kita berada dimahkamah keadilan Allah di hari akhirat nanti, ketika itu tidak ada wang ringgit yang akan digunakan untuk menebus dosa-dosa kita, yang akan kita jadikan cagaran adalah amal ibadah dan amal soleh yang kita kerjakan ketika di dunia. Jika amalan kebaikan dan pahala kita terlalu sedikit bagaimana kita nak tebus dosa-dosa kita yang banyak dan bertambah setiap hari?


Oleh itu marilah kita banyakkan beristighfar kepada Allah SWT dan memohon maaf kepada sesiapa saja yang kita telah dedahkan aibnya , mengumpat dan menaburkan fitnah. Hanya inilah saja dapat menyelamatkan diri kita daripada menjadi muflis dihari akhirat nanti




Tanggungjawab Anak Lelaki Kepada Kedua Ibu bapa Selepas Berkahwin




السَّلاَمُ عَلَيْكُم
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Hubungan dan tanggungjawab anak lelaki terhadap ibu bapanya tidak akan terputus walaupun ia telah mendirikan rumahtangga. Lainlah halnya bagi seorang wanita bagi mereka setelah bernikah segala aspek kehidupannya haruslah dibawah jagaan dan perhatian suaminya.


Walaupun ia berhajat ingin berkunjung ke rumah ibu bapanya sendiri si isteri hendaklah terlebih dahulu meminta izin kepada suaminya. Jika kalian yakin bahawa keperluan hidup keluarga terjamin dari segi tempat tinggal dan makanan mereka, maka teruskanlah membantu kedua ibu bapa kalian demi kebahagiaan kalian  sendiri baik di dunia mahupun di akhirat.


Keinginan isteri untuk bermewah-mewah sehingga mengabaikan tangungjawab kita terhadap ibu bapa sendiri adalah merupakan perkara yang tidak terpuji. Adalah lebih baik suami memberikan nasihat secara baik dan hikmah agar ia memahami kedudukan yang sebenar menurut syarak. Maka tugas seorang suami mendidik isteri menjadi wanita solehah dan tidak mengikut kehendak nafsunya secara berlebih-lebihan.


Disini kami kemukakan sebuah hadis yang agak panjang tentang sikap seorang anak lelaki yang melarang bapanya mengambil sedikit hartanya yang terjadi pada zaman Rasulullah SAW.


Diriwayatkan dari jabir Ibnu Abdillah ia berkata bahawa seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya ayahku telah mengambil hartaku".


Kemudian malaikat Jibril pun turun kepada Rasulullah SAW dan berkata: "Allah Azza Wajalla menyampaikan salam kepadamu. Apabila orang tua itu datang kepadamu maka tanyalah kepadanya tentang sesuatu yang dikatakan dalam dirinya dan hanya di dengar oleh telinga saja".


Tatkala orang tua itu datang, Rasulullah SAW pun bertanya: "Mengapa anak lelakimu mengeluh tentang sikapmu, dan apakah engkau ingin mengambil hartanya ?".


Orang tua itu pun berkata: "Tanyalah kepada anak lelaki ku itu ya Rasulullah, apakah aku menggunakannya bagi salah seorang ibu saudaranya atau bagi diriku".


Rasulullah SAW berkata: "Janganlah ceritakan hal ini kepada kami, beritahulah aku tentang sesuatu yang engkau ucapkan dalam dirimu dan hanya didengar oleh kedua telingamu". (sesuai dengan perintah malaikat Jibril tadi)


Orang tua itu pun berkata: "Demi Allah, ya Rasulullah, Allah SWT selalu menambah keyakinan kami terhadap diri baginda. Aku telah mengucapkan sesuatu dalam diriku yang hanya didengar oleh kedua telingaku".


Rasulullah SAW bersabda: "Katakanlah agar saya dapat mendengarnya". Orang tua itu pun berkata:


"Ku beri engkau makan ketika masih bayi dan ku biayai engkau ketika dewasa.


Engkau minum dari rezeki yang kuberikan kepadamu.


Bila engkau sakit di waktu malam, aku tidak tidur dan gelisah semalaman kerana penyakitmu.


Seakan akulah yang terkena penyakit itu bukannya engkau sehingga akhirnya aku menangis.


Diriku takut jika engkau binasa.


Supaya engkau tahu bahawa maut memiliki waktu tertentu.


Tatkala engkau menjadi besar dan mencapai akhir usia, aku pun tidak mengharapkanmu.


Engkau balas aku dengan kekerasan dan kebengisan, seakan-akan engkaulah pemberi kenikmatan dan kurnia.


Jika engkau tidak memelihara hak aku sebagai seorang bapa cukupah engkau lakukan seperti yang dilakukan tetangga yang berdekatan.


Lalu engkau penuhi hak tetangga terhadapku dan tidak kikir kepadaku dengan harta yang bukan hartamu".


Ketika itu Rasulullah SAW memegang leher baju anak lelaki tersebut dan berkata: "Engkau dan hartamu milik ayahmu".


Sahabat yang di muliakan,
Dengan hadis diatas maka lebih jelaslah bagi kita betapa penting tanggungjawab anak lelaki terhadap kedua ibu bapa. Walaupun dia sudah berkahwin dan mempunyai tanggungan isteri dan anak-anaknya tetapi tanggungjawab kepada kedua ibu bapa tidak boleh diabaikan.


Sekiranya ibu bapanya miskin tidak  berharta, sebagai anak wajiblah membantu kedua ibu bapanya dan tidak menjejaskan nafkahnya kepada ahli keluarganya sendiri. Kerana keredaan Allah SWT bergantung kepada keredaan ibu dan bapa.


Anak lelaki perlu sentiasa bertanya khabar dan menziarahi kedua ibu bapanya dikampung terutama sekiranya mereka telah tua dan uzur pula.  Amalan ini penting kerana kebahagiaan itu bukan terletak pada harta sahaja tetapi ianya terletak di hati dan sanubari cinta dan kasih kepada mereka semata-mata kerana mencari keredaan Allah SWT.


Isteri tidak boleh menghalang atau menyekat perhubungan kasih sayang dan prihatin suaminya kepada kedua ibu bapanya kerana hak anak tetapi wujud  walaupun dia sudah mempunyai keluarganya sendiri.


Isteri harus menyayangi dan mengasihi ibu dan bapa mertuanya dan dia tidak boleh hanya mementingkan ibu dan bapanya  sahaja kerana anggaplah bahawa ibu bapa suaminya adalah sama seperti ibu dan bapanya sendiri.


Oleh itu seorang suami janganlah terlalu mengikut kehendak isterinya sekiranya dia menghalang suaminya berbaik-baik dengan kedua ibu bapanya sendiri hingga dia tergolong sebagai anak yang derhaka dan tidak mendapat rahmat daripada Allah SWT, nauzubillahi minzalik.




Thursday 12 April 2012

Jawapan Kepada Alasan Mereka Yang Tak Nak Menutup Aurat


Jawapan Kepada Alasan Mereka Yang Tak Nak Menutup Aurat


1. Walaupun dedah aurat, diri masih menjaga maruah dan tidak melakukan perkara tak senonoh?


”Janganlah nilai orang dari luarannya. Don’t judge a book by its cover!”
“Walaupun tidak pakai tudung, saya tetap masih jaga solat dan menjaga tingkah laku”


Jawapan:
Adakah anda mendakwa diri anda mempunyai hati yang suci, iman yang tinggi dan kononnya ia sudah cukup menjamin maruah diri tanpa perlu menutup aurat? Tetapi adakah anda berani menjamin bahawa semua lelaki ajnabi yang melihat aurat anda mempunyai hati sesuci dan iman setinggi anda juga?


Langsungkah mereka tidak memberi kesan dan tidak membangkitkan nafsu serakah mereka yang berada di hadapan anda? Jadi, perlu diberi kefahaman bahawa kewajipan wanita menutup aurat bukanlah semata-mata untuk menjaga maslahat dan maruah pihak wanita itu sendiri, tetapi maslahah yang lebih besar ialah menjaga masyarakat yang berada di sekelilingnya agar tidak terfitnah disebabkan budaya mendedahkan aurat.


Betapa banyak kes-kes jenayah rogol dan cabul berpunca daripada wanita sendiri yang mempamerkan tubuh badannya yang terdedah di hadapan khalayak lelaki. Maka tutuplah aurat bukan sekadar untuk anda, tetapi juga demi kemaslahatan orang lain di sekeliling.


2. Perempuan yang bertudung lebih teruk daripada tak bertudung?


“Ala… perempuan pakai tudung pun berperangai buruk!”
“Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung!”
“Ada seorang kakak tu pakai tudung, tapi perangai buruk, mengumpat sana mengumpat sini”
“Siapa kata orang tak pakai tudung semua jahat?”


Jawapan:
Ungkapan anda ini seolah-olah sedang memperlekehkan insan yang sedang berusaha mentaati perintah Allah (dalam bab tutup Aurat). Apakah anda perasan bahawa anda sudah lebih baik berbanding insan yang menutup aurat tersebut apabila anda berani melafazkan ungkapan seperti itu, sedangkan anda sendiri membiarkan aurat anda terbuka?


Salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan untuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.


Nabi bersabda:


Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu dia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya. (HR At-Tirmidzi)


3. Tidak mahu hipokrit bila bertudung?


“Bertudung ni perlukan keikhlasan…”
“Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh.”
“Buat apa pakai tudung kalau hati tak betul”


Jawapan:
Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah WAJIB untuk menutup aurat tidak kira sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri. Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Sekiranya ikhlas dijadikan alasan maka, ramai diluar sana tidak perlu solat 5 waktu kerana sukar mencapai tahap keikhlasan yang ingin dicapai.


Perlu diingatkan, jika seseorang menutup aurat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.


Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya, tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI.


Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat. Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.


4. Menunggu seru untuk bertudung?


“Biarlah ianya datang daripada saya sendiri, bukan dipaksa sesiapa. Bila tiba masa, Insyaallah saya bertudung”
“Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang”
“Insyaallah, apabila sudah berkahwin barulah saya bersedia”


Jawapan:
Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin berubah? Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.


“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang bisa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang ‘aurat wanita. Dan jangalah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” – (Surah an-Nur ayat 31)




Sunday 8 April 2012

Adab Makan dan Minum Mengikut Sunnah Nabi SAW.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.




Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai pembawa rahmat (kebaikan) kepada sekalian alam. Nabi s.a.w banyak mengajarkan kita tentang cara hidup seharian yang bersendikan kepada 'aqidah dan ibadah', sejak kita mula bangun pagi, masuk tandas, makan dan minum, memakai pakaian, menaiki kenderaan, mula bekerja, pulang kerumah, berehat dan tidur.


Sukatan makan dan minum yang menjadi panduan hidup orang Mukmin adalah berdasarkan sabda Nabi SAW  yang maksudnya : "Adalah kami para Nabi, kami tidaklah hidup kenyang."


Nabi SAW  tidak makan sebelum baginda merasa lapar dan lebih dahulu berhenti sebelum sampai ke tahap kenyang atau merasa puas.


Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat beberapa adab-adab makan dan minum cara Nabi SAW  untuk menjadi panduan kita semua untuk mendapat keberkatan di sisi Allah s.w.t  dengan mengikut sunnah baginda.


Pertama : Membasuh tangan sebelum makan.


Nabi SAW  bersabda maksudnya : "Keberkatan makanan itu ialah membasuh (tangan) sebelumnya (sebelum makan) dan membasuh selepasnya."
(Hadis Riwayat Abu Daud dan Turmudzi).


Dari Sayyidah Aisyah r. 'anha bahawa Rasulullah SAW  apabila berjunub, maka baginda berwudhu' (seperti wudhu') untuk solat dan apabila baginda ingin makan baginda membasuh kedua tangannya (lebih dahulu).


Kedua : Membaca Bismillaah. (Bismillahirahmanirrahim)


Sabda Nabi SAW  yang bermaksud : "Apabila seseorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut Allah (membaca Bismillaah) di kala masuk dan di kala makan, maka berkata syaitan : "Tiadalah peluang aku bermalam dengan kamu dan tiadalah pada makanan malam kamu." Dan apabila seorang masuk ke rumahnya , maka dia tidak menyebut Allah di kala memasukinya, maka berkata syaitan : "Aku akan bermalam dengan kamu."
Seterusnya apabila dia tidak menyebut Allah di kala makan, maka syaitan akan berkata : "Aku akan dapat bermalam dan makan malam (bersama kamu; kongsi makan)"
 (Hadis Riwayat Muslim)


Nabi SAW telah bersabda kepada seorang kanak-kanak yang makan di samping baginda maksudnya : "Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah.."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ketiga : Membaca doa makan.




 Sabda Nabi SAW, yang maksudnya :
"Allaahumma baarik lanaa fiimaa razaqtanaa wa qinna'adzaabannar. 
maksudnya : Ya Allah, berkahilah rezeki  yang Engkau rezekikan kepada kami, dan peliharalah kami dari siksa Neraka." (Hadis Riwayat Ibnu As-Sunni)


Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah satu doa yang diajar oleh Nabi SAW. bila hendak makan: 'Allahumma barik lana fihi wa ath ighmna khairan minhu',  
maksudnya: "Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada makanan ini dan kurniakanlah kepada kami makanan yang lebih baik daripadanya."


Keempat : Makan dan minum dengan tangan kanan.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW  bersabda yang maksudnya : "Apabila salah seorang di antara kamu makan, hendaklah dia makan dengan menggunakan tangan kanannya dan apabila dia minum hendaklah dia minum dengan menggunakan tangan kanannya kerana sesungguhnya syaitan itu, dia makan dengan menggunakan tangan kirinya dan minum juga dengan menggunakan tangan kirinya."
 (Hadis Riwayat  Muslim).


Makruh makan dan minum dengan menggunakan tangan kiri kerana ianya adalah di antara adat-adat syaitan dan sesiapa yang melakukan sedemikian, bererti dia menyerupanya. Termasuk juga apabila kita mengambil lauk pauk di dalam majlis hendaklah menggunakan tangan kanan bukan  tangan kiri kerana adat melayu yang mengambil lauk tangan kiri (takut sudu kotor) adalah tidak ikut sunnah. 


Kelima : Makan makanan yang mengiringi (makanan yang terdekat)




Nabi SAW  bersabda maksudnya : "..dan makanlah (dengan memulakan makan) makanan yang mengiringi engkau."
(Hadis Riwayat Bukhari).




Dalam hadis yang lain Nabi SAW  bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu menyebut nama Allah (dikala hendak makan) dan hendaklah setiap orang (mula) makan makanan yang mengiringinya." (Hadis Riwayat Bukhari)




Maksud makanan yang mengiringi adalah makanan yang terdekat kerana menjadi adab Islam mengutamkan makanan yang berdekatan daripada mengambil makanan yang berdekatan dengan rakannya. Selepas itu barulah ia mengambil makanan yang jauh sedikit daripadanya.




Keenam : Mula makan tepian bukan tengah.




Sabda Nabi SAW. maksudnya : "Apabila seseorang kamu makan suatu makanan, maka janganlah dia (mula) makan makanan yang berada di puncak pingan (bahagian tengah), akan tetapi hendaklah dia memakan makanan daripada dahagian di sebelah bawahnya (tepi yang berdekatan dengannya) kerana sungguhnya keberkatan itu turun daripada puncaknya (kebawah)" (Hadis Riwayat Abu Daud).




Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya keberkatan itu turun ke bahagian tengah makanan, maka kamu makanlah daripada bahagian yang di tepinya (yang mendekatimu) dan janganlah kamu makan daripada bahagian tengahnya (puncaknya)"




Ketujuh : Duduk semasa makan.




Makan dan minum secara berdiri adalah bukan daripada adab Islam kerana Nabi SAW menunjukkan contoh makan dan minum baginda secara duduk.




Pada satu ketika Nabi SAW  telah dihadiahkan sesekor kambing yang telah dimasak. Maka baginda turun makan secara berlutut. Tiba-tiba bertanya seorang Arab Desa kepada baginda. "Duduk apakah ini?". Maka baginda SAW  menjawab : "Sungguhnya Allah telah menjadikan saya seorang hamba yang pemurah, dan Dia (Allah) tidaklah menjadikan saya seorang yang tidak kenal belas kasihan lagi keras kepala (derhaka)."
(Hadis Riwayat Abu Daud).




Kelapan : Makan dengan tiga putung jari.




Kaab bin Malik memberitakan : "Adalah kebiasaan Rasulullah SAW  menjemput makanan dengan menggunakan tiga putung jari."
(Hadis Riwayat Muslim)




Menjemput makanan dengan kurang daripada tiga jari menunjukkan kesombongan, manakala  menjemput dengan lebih tiga putung jari pula menandakan buruk makan. Kerana bila makan roti, buah tamar atau kuih muih eloklah gunakan tiga putung jari. Tetapi jika makan nasi perlu menggunakan putung lima jari kerana bersesuaian dengan jenis makanan. Begitu juga makan bubur nasi , bubur kacang atau sop perlu menggunakan sudu pula.




Kesembilan : Tidak mencela atau mengaibkan makanan.




Abu Hurairah r.a. pernah memberitakan bahawa : "Tiadalah sekali-kali Nabi SAW mengaibkan makanan (yang dihidang), jika baginda berselera baginda memakannya dan jika baginda tidak ingin baginda meninggalkannya."
(Hadis Riwayat Bukhari)




Perkataan mengaibkan atau merendah-rendahkan makanan itu seperti seseorang sedang makan ia berkata, "Makanan ini tawar ebar, masam rebam, masin perat, pedas gila, mentah dan sebagainya. Terutama ketika berbuka puasa.




Tujuan kata-kata itu bermaksud mencela makanan tersebut termasuk menyindir orang yang memasaknya kurang prihatin tentang rasanya. Jika ingin menegur pun eloklah secara hikmah untuk kebaikan akan datang dan bukan diucapkan semasa menjamu selera kerana boleh menjatuhkan maruah orang lain.




Nabi SAW  pernah dijamu sejenis biawak padang pasir (dhabb), dikala baginda ditanyakan : "Adalkah dia haram?". Baginda menjawab ; "Tidak! Cuma dia tidak (hidup) di bumi kaumku, maka tidaklah seleraku untuk memakannya." (Hadis Riwayat Bukhari)




Juga sebagaimana terdapat dalam suatu kisah kaum ini (Quraisy) di kala ditanyakan Nabi SAW : "Adakah binatang ini haram?" Maka baginda menjawab : "Tidak! Akan tetapi saya tidak menyukainya disebabkan baunya." (Hadis Riwayat Muslim)




Kesepuluh : Bercakap semasa menjamu selera.


Semasa makan para ulama menggalakkan bercakap mengenai kebaikan makanan, percakapan-percakapan baik dan kisah-kisah orang soleh sekitar makanan dan selainnya.




Semasa makanan berada dimulutnya jangan bercakap kerana perbuatan tersebut adalah buruk bila makan bersama orang lain. Kerana ditakuti makanan terhambur ke muka orang lain. Jika boleh semasa mengunyah hendaklah tidak berbunyi.




Kesebelas : Makan suapan terjatuh.




Jaabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda maksudnya ; "Apabila suapan seseorang kamu terjatuh, maka hendaklah dia mengambilnya, hendaklah dia membuang kemudharataan padanya dan hendaklah dia memakannya dan janganlah dia meninggalkannya kepada syaitan (secara membazir)"
(Hadis Riwayat Muslim)




Di galakkan memakan suapan (makanan) yang terjatuh, jika boleh dibasuh seberapa boleh dan makan semula. Jika makanan tersebut jatuh dan lantai tersebut agak kotor maka makanan tersebut diambil juga dan diberikan kepada haiwan dan jangan dibuangkan dan ditinggalkan kepada syaitan. Ini menunjukkan Islam cukup menbenci perbuatan menbazir dan tidak menghormati makanan. Nasi-nasi yang terjatuh di meja makan hendaklah dikutib dan dimakan semula kerana kita tidak tahu keberkatan  rezeki ada dibutiran mana nasi yang terjatuh.




Kedua belas : Tidak bernafas dalam bekas minum.




Ibnu Abbas r.a menyatakan bahawa, "Sungguh Nabi SAW  melarang bernafas dalam bekas minum atau menghembuskan kedalannya."
(Hadis Riwayat Turmudzi)




Ketiga belas : Tidak makan banyak.




Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : "Orang Mukmin makan menggunakan sebuah perut, sedangkan orang kafir itu makan menggunakan tujuh buah perut" (Hadis Riwayat Bukhari)




Hadis yang lain Nabi SAW  bersabda maksudnya : "Tiadalah wadah yang diisi anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya sendiri, dimana dia menyangka bahawa dengan beberapa suap makanan, maka punggungnya (kekuatannya) akan dapat tegak kembali. Seandainya dia terpaksa bersikap demikian juga, maka (isilah perutnya) sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan yang sepertiga lagi (kosongkan) untuk pernafasan (bernafas)." (Hadis Riwayat Turmudzi)




Keempat belas : Larangan makan sambil meniarap.




Saalim meriwayatkan daripada sumber bapanya ; "Bahawa Nabi SAW  melarang seorang lelaki makan sedang dia duduk meniarap"
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)




Kelima belas : Jangan memerhatikan orang sedang makan.
Seseorang yang sedang makan bila diperhatikan akan menyebabkan tidak selesa.




Keenam belas : Menjempun para tetamu untuk makan : "Sila menjamu selera!" kepada para tetamu.




Rasulullah SAW bersabda : "Yang masih tinggal cuma saya dan engkau."
Abu Hurairah berkata ; " Benar tuan, wahai Rasulullah SAW"
Baginda berkata : "Sila duduk, sila minum!"
Maka saya duduk , lalu saya minum.
Maka baginda berkata lagi : "Minumlah!"
Lantas saya minum.




Ketujuh belasa : Sesudah makan menjilat pingan dan jari.




Sabda Nabi SAW  bermaksud : "Sungguh kamu tidaklah mengetahui (bahagian) manakah (makanan kamu) yang mengandungi keberkatan.'
(Hadis Riwayat Muslim)




Malah Rasulullah SAW  menyuruh umatnya agar menyapu makanan dalam pingan (untuk dimakan) .




"Perbuatan Nabi SAW  dimana baginda menjilat (dan menghisap) sisi-sisi makanan (serta memakannya) daripada tiga putung jari (yang menjemput makanan) sebelum lagi baginda menyapu jari-jarinya."
(Hadis Riwayat Musliam)


Kelapan belas : Larangan bangun meninggalkan makanan sehingga hidangan di angkat.




Sabda Nabi SAW  bermaksud : "Apabila telah dihidangkan suatu hidangan, maka janganlah seseorang bangun sehingga diangkatkan hidangan, dan janganlah dia menggerakkan tangannya (berhenti makan) sekalipun dia sudah kenyang sehinggalah kumpulan (bersamanya) selesai makan, dan hendaklah dia menunggu kumpulan itu, kerana sesungguhnya seorang lelaki itu akan merasa malu duduk (lagi), maka dia akan berhenti makan, dan barangkali dia masih perlu untuk makan."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)




Kesembilan belas : Memuji dan menyanjungi Allah.




Bila hidangan diangkatkan Nabi s.a.w memuji Allah SWT dengan doanya : 
"Segala puji bagi Allah, sebagai pujian yang banyak, bagus dan diberkati. Kami tidaklah merasa cukup dengan seorang selain Engkau, kami tidaklah meninggalkan nikmat Engkau, dan kami tidaklah terkaya daripada kurniaan Tuhan kami."




Kedua puluh : Membasuh kedua tangan selepas makan.




Hadis dari sumber Salmaan r.a. telah pun di sebutkan berbunyi : "Keberkatan makanan itu ialah membasuh dua tangan sebelum dan sesudah makan."




Sahabat yang dikasihi.
Marilah sama-sama kita amalkan adab-adab makan dan minum yang diajarkan oleh Nabi SAW untuk menjadi peduman kita semua untuk mencari keberkatan dan mengikut sunnah baginda.






Laksanakanlah Amal Makruf dan Mencegah Kemungkaran


Laksanakanlah Amal Makruf dan Mencegah Kemungkaran


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah, 
Dari Abu Yazid Usamah bin Zaid bin Haritsah r.a yang berkata, "Aku mendengar Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : 'Seseorang didatangkan pada hari kiamat, lalu dilempar ke neraka. Maka keluarlah isi perutnya. Dengan isi perut yang keluar itu ia berputar-putar seperti himar yang mengitari porosnya. Para penghuni neraka berkumpul di dekatnya, seraya mengatakan, 'Wahai si Fulan! Apa yang terjadi padamu? Bukankah (dulu) kamu memerentah kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar?' Ia menjawab, 'Ya, memang dulu aku memerintahkannya kepada yang makruf , namun aku tidak melaksanakannya dan mencegah dari yang mungkar, namun aku melanggarnya'."
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)


Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa para pendakwah yang menjalankan tugas-tugas dakwah iaitu mengajak manusia kepada yang makruf dan mencegah dari kemungkaran tetapi pada masa yang sama ia tidak melaksanakannya sendiri amal makruf tersebut dalam kehidupannya dan tidak meninggalkan kemungkaran, maka balasan yang dahsyat akan di terimanya di hari kiamat nanti iaitu ia akan dimasukkan ke dalam neraka. Istiah melayu mengatakan 'cakap tak serupa bikin'


Oleh itu wahai sahabatku! Baca dan kembalilah kepada Al-Quran dan Sunah Nabi-Nya. Laksanakan semua hukum muamalat dalam kehidupan yang bersumberkan pada ajaran-ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Ingatkanlah setiap orang yang menyalahi syariat dan berhukum kepada selain Allah SWT.


Berjihadlah melawan orang-orang yang memerangi Al-Quran dan As-Sunah, dengan jihad yang besar hingga berhasil mengubah bentuk kemungkaran ini, kerana mereka telah keluar dari syariat Allah. Jika tidak mempunyai senjata, berjihadlah dengan lisan kalian. Sebarkan dan dakwahkanlah dan jelaskanlah kebenaran. Jika tidak mampu, ingkarilah dengan hati! Dan tidak ada sedikit pun iman jika tidak ada kebencian dengan hati kerana ini adalah selemah-lemah iman.


Sahabat yang dimuliakan,
Barangsiapa berjihad melawan mereka dengan lisannya, ia adalah mukmin. Barangsiapa berjihad dengan tangannya ia adalah mukmin dan barangsiapa berjihad dengan hatinya, ia adalah Mukmin. Dan Maha Besar Allah ketika berfirman dalam surahAl-Baqarah ayat 44 yang bermaksud : "Apakah kalian memerintahkan manusia kepada kebaikan, sementara kalian melupakan diri kalian sendiri, padahal kalian membaca kitab? Apakah kalian tidak berfikir?"


Oleh itu marilah kita sama-sama menjalankan tugas dan amanah iaitu belajar dan memahami ilmu-ilmu fardu ain dan mempraktikkannya dan bekerja dengan ikhlas amal makruf dan nahi mungkar. Tugas-tugas yang mulia ini adalah tugas para aulia dan ambia dan perlu diteruskan sehingga tertegaknya Daulah Islamiyyah.




Tuesday 3 April 2012

Orang Mukmin Akan Menjawab Semua Godaan dan Hasutan Syaitan Dengan Ayat-ayat Allah SWT.


Orang Mukmin Akan Menjawab Semua Godaan dan Hasutan Syaitan Dengan Ayat-ayat Allah SWT.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 


بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Syaitan laknatullah sentiasa menggoda dan menghasut anak Adam daripada semua sudut. Tetapi seorang mukmin akan mampu menjawab dengan penuh keimanan kepada Allah SWT segala persolana dan hasutan syaitan. Setiap soalan akan ada jawapannya.


Kenapa aku diuji?


Jawapannya : "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan : 'Kami telah beriman.' sedangkan mereka belum diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta'." (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)


Kenapa masih tak dapat apa yang aku impikan?


Jawapannya : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah ayat 216)


Kenapa aku mendapat ujian seberat ini?


Jawapannya : "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Surah Al-Baqarah ayat 286)


Rasa kecewa?


Jawapannya : "Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
(Surah Ali-Imran ayat 139)


Bagaimana harus aku menghadapinya?


Jawapannya : "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (mengahadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)." (Surah Ali-Imran ayat 200)


"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." 
(Surah Al-Baqarah ayat 45)


Apa yang aku dapat daripada semua ini? 


Jawapannya : "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka." (Surah At-Taubah ayat 111)


Kepada siapa aku mengharap? 


Jawapannya : "Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal."
(Surah At-Taubah ayat 129)


Aku sudah tak dapat bertahan lagi! 


Jawapannya : "...dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusof ayat 12)


Sahabat yang dikasihi,
Ingatlah pada Allah SWT selalu apabila kalian sentiasa diuji dengan bala dan musibah. Setiap sesuatu yang di timpakan ujian kepada kalian mengandungi hikmah yang besar, yakinlah terhadap qadak dan qadar-Nya dan berbaik sangka dengan Allah SWT. Setiap kesusahan dan penderitaan itu terdapat kebaikan dan kebahagiaan.